PAKATAN Harapan (HARAPAN) menerima kekalahan teruk di Tanjung Piai sebagai amaran dari rakyat.
Perdana Menteri, TuN Dr Mahathir Mohammad berkata post-mortem di semua peringkat parti telah pun diadakan, dan pemimpin perlu tahu apakah yang perlu dilakukan bagi memulihkan semula keadaan.
“Kita sedar bahawa keputusan buruk ini sebagai satu amaran kepada parti kita bahawa banyak perkara perkara yang kita lakukan ini tidak disenangi oleh rakyat, terutamanya berkenaan cost of living dan macam macam lain.
“Termasuk tuduhan bahawa parti Pakatan Harapan ini dikuasai sepenuhnya oleh DAP itu pandangan orang Melayu, dan orang Cina berpendapat bahawa DAP dikuda oleh Dr Mahathir," katanya.
Dr Mahathir sebelumnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.
Turut hadir ialah Ketua Umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden HARAPAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta kepimpinan kanan parti komponen yang lain,
Kenyataan Dr Mahathir itu dilihat konsisten dengan pendapat dikeluarkan Anwar sebelum ini yang melihat keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu sebagai amaran rakyat yang mahu kerajaan melaksana segera perubahan.
Anwar sebelum ini berkata, pemimpin perlu mengambil iktibar dari kekalahan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar berkata, kejutan di Tanjung Piai itu sebagai satu mesej jelas kepada seluruh pimpinan HARAPAN agar segera menanam semula keyakinan di kalangan rakyat.
0 Comments