BUDAYA politik berlandaskan saingan idea dan bukan budaya politik rebut kuasa perlu menjadi tunjang semua ahli KEADILAN.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa dikemudi dengan akhlak yang betul hanya akan menyebabkan pemimpin melakukan salah guna kuasa dan rasuah.
Menurutnya, akhlak yang betul dalam kalangan anggota KEADILAN dapat membentuk sebuah budaya politik sihat dengan percambahan pelbagai idea untuk membentuk sebuah kerajaan kuat dalam membantu rakyat bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
"Politik ini pertandingan idea, ia mesti ada keadilan kita tegakkan untuk semua yang mana keadilan ini mesti ada akhlak. Tidak boleh kita guna kuasa untuk curi duit, senangkan kumpulan tertentu atau buat tidak betul.
"Bila ada, jadi menteri kata apa salahnya ada sedikit itu ini, saya kata tidak, tiada tolak ansur kerana kita pegang amanah rakyat. Tiada sedikit pun tolak ansur hal rasuah dan salah guna kuasa," katanya menurut laporan Bernama.
Anwar sebelumnya berucap pada Konvensyen KEADILAN Melaka yang diadakan di Ayer Keroh.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kuasa yang dimandatkan oleh rakyat perlu digunakan untuk membangunkan ekonomi negara yang penting dalam menghapuskan kemiskinan di negara ini dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
"Sudah 10 tahun pembangunan ekonomi negara pada kadar mendatar, jadi perlu sokong (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) laksana program ekonomi, politik PH harus terus stabil jangan ada komplot sana sini.
"Terus beri sokongan kerana kalau kekal begini (pertumbuhan ekonomi mendatar) kemiskinan akan terus berlaku dan akhirnya yang sengsara rakyat. Kaya bertambah kaya tetapi yang miskin papa kedana," katanya.
Beliau berkata, dalam menilai kadar kemiskinan di negara ini, kerajaan telah bersetuju untuk meminda cara kiraan kadar kemiskinan yang telah digunakan sejak 1971 kepada perkiraan mengambil kira pelbagai dimensi.
0 Comments