SIRI Perlumbaan basikal Tour De Selangor (TDS) 2019 yang bakal berlangsung pada Disember ini dijangka bakal lebih menarik.
Ia susulan beberapa pasukan ternama antaranya Sapura Cycling Team, Kinan Cycling Team dan Team UKYO (Jepun), Kspo Bianchi Asia Pro Cycling Team (Korea Selatan) dan Oliver’s Real Food Racing (Australia) dijangka akan mewarnai perlumbaan yang masuk musim ke dua-nya pada tahun ini.
Pengarah Urusan TDS2019, Noraidiazhar Sulaiman berkata, setakat ini pasukan Sapura telah mengesahkan penyertaan pasukan mereka.
“Sapura sudah mengesahkan pasukan mereka. Laluan kali ini juga ada sedikit perubahan berbanding pada 2017, dengan ada laluan yang tinggi dan pendek.
“Kelainan untuk edisi tahun ini, kita mahu mencari pelumba Raja Bukit manakala secara keseluruhan sebanyak 70 peratus laluan adalah landai,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran serta penyerahan tajaan TDS 2019 Cycling Championship di Hotel Concorde Shah Alam.
Kejohanan TDS akan membabitkan jarak sejauh 716 kilometer mengelilingi sembilan daerah di Selangor.
Ia adalah acara anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) dan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan; Kerajaan Selangor dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia serta diiktiraf Union Cyclist Internationale (UCI) yang berpusat di Perancis.
Saingan bermula di Pulau Indah pada 18 Disember dan berakhir di Shah Alam pada 22 Disember.
0 Comments