Prosiding kes Najib dijangka hangat


PROSIDING mahkamah kes berprofil tinggi bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini dijangka hangat.

Ia susulan bakal berlangsungnya sesi penghujahan dari pihak pembela dan pendakwaan mengemukakan hujah masing-masing.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan bagi tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta membabitkan Najib menetapkan penghujahan berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Prosiding hari ini bakal dimulakan pihak pembela terlebih dahulu, Diketuai Muhammad Shafee Abdullah, pasukan peguam Najib akan cuba mematahkan penghujahan pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang akan mengemukakan hujah balas.

Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan telah menggulung kesnya selepas perbicaraan selama 58 hari dengan 57 saksi memberi keterangan.

Hakim, Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 11 November ini untuk membuat keputusan sama ada memanggil Najib untuk membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan.

Hakim juga menetapkan 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Najib, 66, yang juga Ahli Parlimen Pekan, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan satu pertuduhan salahguna kuasa berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos lalu, bekas perdana menteri itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011, dan 10 Februari 2015.

Post a Comment

0 Comments