TINDAKAN jahat pihak tertentu yang mengatur rancangan tersembunyi bagi mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ada agenda sendiri, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tambah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, tindakan individu-individu terbabit jelasnya tidak mencerminkan perjuangan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebaliknya hanya sekadar mahu memuaskan matlamat dan kepentingan politik diri sendiri.
"Kami sudah berbincang mengenai perkara itu. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti telah mengambil pendirian bahawa rakyat harus lihat ada kemungkinan percubaan ‘hijack' agenda reformasi.
“Kita katakan bahawa usaha ini adalah bertujuan mengembalikan semula politik usang berbanding dengan politik inklusif yang telah dibawa oleh HARAPAN,” katanya.
Saifuddin sebelumnya bercakap kepada pemberita selepas merasmian Festival InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Kuala Lumpur.
Terdahulu timbul dakwaan cubaan 'merampas' kuasa gabungan parti pemerintah sedia ada.
Ia didakwa didalangi Hishammuddin Hussein - Sepupu kepada bekas perdana menteri, Najib Razak. Malaysiakini yang memetik sumber baru-baru ini melaporkan terdapat beberapa pemimpin HARAPAN termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Mohammed Azmin Ali terlibat dalam sabotaj itu.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga adalah Ahli Parlimen Semberong yang mewakili Umno menafikan dakwaan itu.
BACA: KEADILAN beri amaran wujud usaha khianat mandat rakyat
BACA: Hishammuddin dituduh dalang tubuh kerajaan baharu
Sementara itu, Saifuddin yang juga adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menegaskan bahawa KEADILAN mempunyai "circumstantial evidence" (keterangan berdasarkan keadaan) mengenai agenda tersebut.
"Ada semacam circumstantial evidence. Dia tak perlu satu evidence (bukti) yang (langsung), politik mana ada evidence macam itu.
"Circumstantial evidence - cukup untuk kami mengingatkan bahawa pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil pendirian bahawa rakyat harus melihat tentang adanya kemungkinan percubaan untuk hijack (merampas) agenda reformasi yang telah pun dijalankan," tegasnya lagi.
0 Comments