Polis Selangor tembak tiga peyamun bersenjata


POLIS
menembak mati tiga lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti samun bersenjata di kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dipetik laporan media berkata, sebelumnya sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terserempak dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo yang berada keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun ketika mahu diperiksa, pemandu kenderaan itu cuba melarikan diri.

Noor Azam Jamaludin
“Polis cuba menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan namun secara tiba-tiba pemandu kenderaan bertindak memecut laju lalu kami mengejarnya sejauh kira-kira tujuh kilometer.

“Kenderaan tersebut juga menghimpit kereta polis sebelum terbabas menyebabkan ketiga-tiga suspek keluar dari kereta terbabit dan melepaskan beberapa tembakan,” katanya pada sidang media di IPD Gombak.

Susulan itu jelas Noor Azam, polis melepaskan enam das tembakan ke arah suspek yang membunuh ketiga-tiga suspek.

Pemeriksaan pada suspek menemui dua pucuk pistol jenis separa automatik, tiga bilah parang dan tiga helai sarung muka. Mereka yang identitinya belum dikenal pasti disyaki terbabit dalam kes samun bertopeng di kawasan Rawang, Batu Arang dan Kundang.

"Mereka dipercayai terlibat dalam sebahagian daripada 60 kes pecah rumah dan samun bersenjata yang dilaporkan di sekitar Selangor sejak Mei lalu.

“Semakan mendapati kereta yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan dicuri dalam satu kejadian samun pada 5 Ogos lepas,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments