Silibus pemulihan kanak-kanak GISBH ikut kesesuaian tahap umur - Exco Selangor

KERAJAAN NEGERI Selangor akan menetapkan silibus pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengikut tahap umur mereka.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pasukan khas yang ditubuhkan awal bulan lalu melakukan pemeriksaan terperinci meliputi kesihatan fizikal, mental, emosi serta pegangan ideologi anak-anak berkenan.

"Rumusan awal akan dibentangkan pada pertengahan November ini supaya silibus pemulihan sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap yang diperlukan serta umur anak-anak ini,” katanya menerusi kenyataan.

Pada awal September lepas, polis melancarkan Op Global dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISB kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Susulan itu Kerajaan Selangor mengumumkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISB di negeri itu sebelum ini.

Pasukan khas dipengerusikan bersama oleh Mohammad Fahmi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) serta beberapa agensi swasta dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu menurut Fahmi Ngah, Kerajaan Negeri Selangor akan turut berhubung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk berkerjasama dalam pengurusan anak-anak GISBH dari Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana.

Tambah beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak baik dari segi tenaga pakar dan kewangan untuk sama-sama memulihkan anak-anak ini dan yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset Selangor yang baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan yang sewajarnya..



 
 

Post a Comment

0 Comments