KPKM akan percepat bantuan untuk pesawah terjejas banjir

KERAJAAN MADANI sedang berusaha mempercepatkan penyaluran bantuan awal untuk para pesawah yang terjejas akibat banjir di Kedah, baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

"Anggaran awal kerugian sektor pertanian yang terjejas kira-kira RM40 juta, namun masih dalam proses kajian menyeluruh untuk mengenal pasti angka kerugian sebenar.

“Jumlah kerugian itu merangkumi tanaman padi (paling tinggi), sayur-sayuran, nelayan darat yang kolam mereka musnah akibat banjir dan ladang-ladang ternakan lembu," jelasnya kepada pemberita.

Muhamad Sabu ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan MADANI kepada pesawah, petani dan penternak terjejas banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan C-III Tajar di pendang, Kedah pada Isnin.

Sebanyak 2,074 pesawah dan pengusaha pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Inc. Kedah yang terjejas akibat banjir bulan lepas menerima sumbangan bakul makanan mengandungi pelbagai keperluan asas.

Sementara itu Muhamad Sabu berkata,  hampir 6,000 hektar kawasan tanaman padi terlibat banjir pada pertengahan September dan  menyebabkan padi yang sudah hampir boleh dituai rosak, sekali gus akan menyebabkan kekurangan bekalan beras negara.

Sebagai persiapan jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras terutama disebabkan bencana alam, KPKM akan memohon supaya kerajaan memperuntukkan kira-kira RM400 juta dalam Belanjawan 2025 untuk menambah baik infrastruktur dan sistem saliran bagi kawasan luar jelapang padi.

“Pada awal November ini, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat berkaitan hal sekuriti makanan. Antara tajuk mungkin boleh kita masukkan (dalam mesyuarat) keadaan banjir luar jangka yang berlaku di Kedah... Kawasan jelapang padi mesti diambil perhatian khas,“ tambahnya.

Post a Comment

0 Comments