Insiatif baharu perkasa ekonomi komuniti India akan diperkenal - Ramanan

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal memperkenal satu lagi inisiatif khas bagi memperkasakan dan memperkukuh ekonomi komuniti India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan dari tiga inisiatif khas sebelum ini dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Selepas berjaya mengusahakan tiga inisiatif khas untuk mempertingkatkan ekonomi usahawan India di negara ini dalam tempoh empat bulan lalu, saya telah mengenal pasti satu lagi inisiatif yang cukup menarik yang dapat membantu usahawan India untuk kemajuan ekonomi mereka.

"Seperti yang saya sering tegaskan sebelum ini, misi dan fokus utama saya ialah memperkasakan ekonomi komuniti India,” katanya.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata begitu kepada pemberita merasmikan Program Onam Vannallo 3.0 di Dewan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) di Petaling Jaya pada Ahad.

 Sehubungan itu jelasnya, satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi meneliti beberapa perkara yang berbangkit sebelum membuat pengumuman tersebut.

Sementara itu Ramanan menegaskan, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendahulukan perpaduan kaum sebagai teras utamanya sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.
 
Sebagai rekod, Kerajaan Madani telah mengumumkan tiga inisiatif khas bagi membantu komuniti India iaitu Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dengan peruntukan RM30 juta; Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dengan peruntukan RM50 juta khusus untuk pemerkasaan wanita India dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) di bawah Bank Rakyat dengan peruntukan RM50 juta.


Post a Comment

0 Comments