PM umum imbuhan untuk skuad sepak takraw kebangsaan

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan imbuhan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan.

Perkara itu diumumkan Anwar semasa mengadakan pertemuan dengan pasukan kebangsaan itu di pejabatnya di Putrajaya pada Isnin.

"Hari ini saya berpeluang bertemu dengan pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024 pada Mei lepas.

"Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia," katanya melalui hantaran di Facebook.

Pada acara yang diadakan di Stadium Titiwangsa itu, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada perlawanan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Bagaimanapun skuad regu berpasukan sepak takraw negara tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final.

Sementara itu dalam hantaran sama Anwar memaklumkan,  pada pertemuan itu mereka membincangkan beberapa perkara termasuk keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan untuk atlet sepak takraw.

Post a Comment

0 Comments