Perundangan baharu akan diperkenal, kawal selia BBP

KERAJAAN akan memperkenal satu perundangan baharu yang bertujuan mengawal selia dan memperkukuh tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat-syarikat di bawahnya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui satu kenyataan pada Khamis berkata, perundangan itu akan memberi penekanan kepada perkara berkaitan pinjaman, pelaburan dan penubuhan anak-anak syarikat .

"Perkara itu antara inisiatif yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Ia sebagai usaha ke arah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam," kata kenyataan itu.

Selain itu, beberapa lagi dasar dan inisiatif lain melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan diputuskan.

Justeru satu pasukan petugas khas ditubuhkan dibawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi melaksanakan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan.
 
"Turut diputuskan pada mesyuarat itu ialah penggubalan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan melalui penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa sejak peluncuran NACS pada 7 Mei lepas, 60 substrategi nasional telah diperkenalkan yang membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah.

"Selaras dengan aspirasi nasional untuk membangun Malaysia MADANI, matlamat kita adalah untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terpelihara tanpa gejala rasuah," kata kenyataan tersebut.
 

Post a Comment

0 Comments