Generasi Alpha perlu dididik hadapai cabaran dunia digital - Fahmi

WARGA pendidik dan ibu bapa digesa untuk memainkan peranan dalam memastikan Generasi Z dan Generasi Alpha bersiap sedia menghadapi cabaran dunia digital.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata walaupun dua generasi yang dilahirkan antara 1997 hingga 2010 dan 2011 hingga 2026 itu dianggap sebagai individu yang sangat biasa dengan teknologi digital, namun namun mereka masih perlu didedahkan dengan cabaran teknologi dalam semua aspek kehidupan, termasuk kesihatan, perniagaan, dan komunikasi.

"Perlu ada perubahan dalam kalangan pendidik dan pelajar sendiri, bersedia mencabar diri, mencuba teknologi baharu tetapi pada masa sama, memahami batas-batas yang ada dari segi undang-undang, tatasusila, dan waspada dalam menggunakan teknologi," katanya pada ucapan perasmian Program Sekolah Digital U Mobile di Kuala Lumpur pada Selasa.

Program Sekolah Digital U Mobile merupakan projek rintis dengan memperkenalkan sekolah digital di sekolah kerajaan yang fokus kepada manfaat pendigitalan pendidikan.

Sebagai permulaan, empat buah sekolah kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi itu melancarkan projek rintis ekosistem tanpa tunai untuk sekolah-sekolah kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi mahu pengendali aplikasi komunikasi Telegram dan WhatsApp lebih bertanggungjawab dalam memastikan tiada sebarang salah laku jenayah bebas dilakukan di dalam platform berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman mendapati, platform WhatsApp banyak disalahgunakan bagi tujuan pengantunan seksual.

"Telegram juga agak bermasalah kerana ada melibatkan salah guna akaun untuk tujuan pornografi, jualan bahan terlarang seperti dadah.

"Kita juga dapat banyak aduan termasuk daripada bekas menteri, menteri sedia ada, ramai dapat mesej dan berdepan ancaman scammer, " jelasnya.

Beliau sementara itu memaklumkan,  isu-isu melibatkan dua platform berkenaan sudah di dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan tindakan wajar akan diambil bagi memastikan aplikasi berkenaan serta keseluruhan media sosial selamat untuk digunakan komuniti.
 

Post a Comment

0 Comments