Bekas Pengerusi BiPPA parti KEADILAN kini Ahli Kehormat Kesatuan Ulama Sedunia

PENGERUSI Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dipilih sebagai Ahli Kehormat Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS).

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil berkata pemilihan itu diumumkan Presiden IUMS Sheikh Ali Al-Qaradaghi dalam acara Global MADANI Forum anjuran IKIM pada Khamis lepas.

"Pemilihan Muhammad Nur  berdasarkan sumbangan besar beliau dalam bidang pemikiran Islam semasa selain pembabitannya dalam lapangan dakwah tempatan dan antarabangsa.

"Beliau juga merupakan tokoh ilmuan yang disegani berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Nur juga adalah tokoh kedua diiktiraf sebagai Ahli Kehormat IUMS selepas Sheikh Raed Salah Abu Shakra dari Palestin.

Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Muhamad Nur juga merupakan bekas pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti KEADILAN dan pernah dilantik sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)

Sementara itu Mohamad Azam berharap pengiktirafan itu dapat memantapkan kerjasama IKIM dan Malaysia dengan rangkaian ulama seluruh dunia dalam usaha membina Islam manhaj sederhana demi membina tamadun khayra ummah.



Post a Comment

0 Comments