RAJA PEMERINTAH United Kingdom (UK) Raja Charles III dan Ratu Camilla menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim bersempena pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia.
Dalam perutusan yang dimuat naik menerusi akaun X rasmi Suruhanjaya Tinggi Britain Malaysia pada Khamis, baginda Raja Charles III turut menitahkan hasrat ke arah memastikan hubungan kedua-dua negara dan kekeluargaan kekal kukuh terjalin.
Baginda turut bertitah masih ingat akan kunjungan ke Malaysia pada 2017 bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik UK dan Malaysia.dan berharap dapat mengulanginya pada masa depan untuk meraikan hubungan rapat kedua-dua negara.
"Secara khusus, beta berharap kita boleh terus bekerjasama dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.
"Ini adalah isu global yang amat penting dan akan memberi kesan terhadap kehidupan kita pada masa akan datang.
"Ratu beta turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah pada hari Tuanku memulakan pemerintahan di Malaysia," titah baginda dalam hantaran tersebut.
Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara pada Rabu.
Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.
0 Comments