Nik Nazmi pertahan kenyataan isu tanah rizab Melayu di Kedah

 


NIK NAZMI Nik Ahmad menyatakan pendirian untuk mempertahankan kenyataan berhubung pengurangan tanah rizab Melayu di Kedah.

Perkara itu dinyatakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu susulan ancaman Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

"Jawapan saya ketika Sidang Parlimen telah disediakan oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) negeri Kedah yang mengumpul data tanah rizab Melayu oleh pihak pentadbiran tanah negeri setiap tahun.

"Saya yakin dengan kerja penjawat awam terlibat di peringkat persekutuan dan negeri," jelasnya.  

Pada 29 Mac, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.

Bagi negeri Kedah jelasnya, keluasan tanah rizab Melayu berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar.
 
Walau bagaimanapun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada Isnin menafikan angka tersebut dengan menyatakan data hingga 19 Jan menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

Nik Nazmi pertahan kenyataan dalam Dewan
"Saya mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah berkenaan peningkatan tanah rizab Melayu Kedah dari 1933 sehingga hari ini.

"Namun, memandangkan beliau mula menjadi Menteri Besar pada tahun 2020, tentulah angka dari tahun 2021 hingga 2022 menjadi tumpuan berbanding dengan Kedah ketika era British dan ketika jajahan Jepun atau Siam pada Perang Dunia Kedua,” katanya.

Justeru jelas Nik Nazmi beliau sudah telah menghantar penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Johari Abdul sebagai maklum balas kepada usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau turut menyertakan surat dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah bertarikh 30 November 2022 kepada JKPTG yang menyatakan keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah sebagaimana dinyatakan dalam Dewan Rakyat.

Post a Comment

0 Comments