DATUK SERI Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan rasmi ke Thailand hari ini bagi memenuhi jemputan Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand.
Menariknya, sejak bulan lalu, tumpuan laporan berita media tempatan Thailand sudah mula terarah kepada lawatan dua hari ini dengan penduduk negara dilapor turut tertunggu-tunggu lawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu.
Seperti lawatan ke tiga negara jiran sebelum ini, lawatan Anwar ke Thailand dianggap sebagai sangat penting bagi membuka lembaran baharu kepada hubungan dua hala kedua negara.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Kampus Rangsit, Thailand, Prof Dr Chaiwat Meesanthan menyifatkannya peristiwa kali ini sebagai sangat signifikan dan bukan sekadar lawatan hormat antara pemimpin Malaysia-Thailand.
"Bagi Thailand, lawatan ini bukan sahaja 'honor visit' tetapi sebagai lawatan yang penting untuk perbincangan dan pentas menaiktaraf isu-isu yang Thailand mahu bincangkan dengan Perdana Menteri.
"Lawatan ini pentas penting untuk kerajaan Thailand," katanya dipetik laporan media.
Sebagai negara berjiran, Malaysia dan Thailand memiliki sejarah hubungan sangat panjang, hubungan diplomatik kedua-dua negara diteruskan sejak negara mencapai kemerdekaan pada pada 1957.
Diantara Januari hingga November tahun lepas, Thailand disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga utama Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, Anwar dan Prayut akan membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
Kedua-dua mereka akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Rundingan damai Selatan Thailand
Sementara itu, lawatan Anwar juga dianggap penting bukan sahaja dari segi perdagangan dan pelaburan kedua buah negara, namun juga kepada harapan agar keamanan di selatan Thailand dapat diwujudkan.
Pensyarah kanan Institut Kajian Keamanan di Universiti Prince of Songkla, Penolong Prof. Dr Srisompob Jitpiromsri berkata, rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dapat diperbaiki dengan Anwar selaku perdana menteri.
"Beliau (Anwar) memahami isu pemberontakan dengan lebih mendalam dan mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di wilayah selatan sejak sekian lama.
"Syarat rundingan untuk Thailand secara relatifnya utuh tanpa perubahan kerajaan," katanya seperti dipetik Bangkok Post.
Pandangan sama turut dinyatakan bekas pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Chulalongkorn.
Panitan Wattanayagorn berkata, setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, kebarangkalian rundingan damai membuahkan hasil kini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dari segi hubungan diplomatik, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh di Thailand termasuk ahli politik, pegawai kanan tentera dan ahli akademik serta masyarakat sivil.
"Rundingan damai boleh menarik lebih banyak kumpulan pemberontak selain BRN.
"Melihat kepada gambaran yang lebih luas, terdapat harapan yang tinggi (untuk rundingan damai) walaupun tetap berhati-hati untuk mengelakkan kekecewaan," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun lamanya yang meletus pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.
![]() |
Rakyat Thailand juga letak harapan tinggi |
Isu sempadan adalah antara perkara yang turut akan dibincangkan antara Malaysia dan Thailand pada lawatan kali ini.
Lawatan pelengkap
Selain pertemuan diantara kedua pemimpin, Anwar juga dijadual mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Bangkok.
Pada lawatan kali ini, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.
Lawatan keempat selepas Indonesia, Brunei dan Singapura, Anwar turut akan menyaksikan majlis pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital.
0 Comments