S'gor beri amaran, penjara seumur hidup jika cemar sungai


KERAJAAN
Negeri Selangor memberi amaran bahawa pihak atau individu yang melakukan sabotaj pada sumber air di negeri itu boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihak terlibat perlu bersedia dengan hukuman tegas yang bakal dikenakan ke atas mereka susulan tindakan tersebut.

“Pesalah di bawah seksyen ini akan dikenakan penjara seumur hidup dan oleh sebab itu, saya bagi amaran kepada pihak yang ingin melakukan pencemaran agar berfikir dahulu sebelum bertindak,” katanya.
 
Sebelum ini, dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain berhubung pencemaran Sungai Selangor.

Kontraktor jalan, R Nathan, 43, dan pengarah sebuah syarikat, Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mahkamah menetapkan 8 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Penduduk di Selangor sebelum ini terbeban dengan kekerapa masalah bekalan air.

Pada September lalu, pihak berkuasa mengesan pencemaran air di Sungai Gong, Rawang yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentikan sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di negeri itu.

Pada November, empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang di Kuala Selangor, terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

 S'gor ketatkan penguatkuasaan
Sementara itu Loy Sian berkata, Kerajaan negeri terus akan melaksana penguatkuasaan bagi menangani premis haram di rizab sungai yang menjadi punca kepada pencemaran.

“Kita akan robohkan mana-mana premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran di sungai utama sekitar Selangor,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments