SEKEPING cek syarikat yang diserahkan kepada akaun pemegang amanah firma guaman Lewis & Co, digunakan untuk membayar gangster.
Perkara itu didedahkan Pengarah Cergas Murni Sdn Bhd, Paul Latimer dalam keterangan ketika perbicaraan membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik laporan Malaysiakini, Latime berkata, cek Maybank bertarikh 29 Mac 2016 berjumlah RM447,773.42 digunakan untuk membayar wang perlindungan kepada gangster yang mengganggu projek pembinaan sebuah jambatan di Klang Selangor.
Latimer, 79, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Bagaimanapun, saksi ke-73 perbicaraan kes pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid itu, tidak menjelaskan secara khusus gangster yang dimaksudkan.
Pada 16 Jun, dilaporkan bahawa saksi ke-60, Khatijah Sulaiman @ Suleiman, yang juga pengarah Cergas Murni, memberi keterangan bahawa jumlah RM447,773.42 itu merupakan sebahagian daripada tiga keping cek yang berjumlah RM1,011,520, diserahkan kepada pengurup wang Omar Ali pada 2016.
BACA: 3 saksi mengaku kosongkan ruang penerima di cek
Nama Omar Ali sebelum ini pernah muncul dalam perbicaraan apabila beberapa saksi mengakui sering menyerahkan cek kepada individu bernama “Omar” yang dikosongkan ruang “bayar” (penerima).
Harris: Apa kaitan projek (pembinaan jambatan) dengan gangster?
Paul: Dalam bandar Klang, pada masa itu, banyak hal dengan gangster (di kawasan) sana. Mereka nak wang perlindungan.
Harris: (Wang) RM447,773.42, apa kaitan dengan ini? Bagaimana wang ini digunakan?
Paul: Guna untuk bayar gangsterlah.
Berdasarkan perenggan kesembilan keterangan Latimer berhubung bayaran RM447,773.42 itu, dia berkata rakan perniagaannya yang mencadangkan bahawa Omar Ali dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Bahagian lain keterangannya turut mengesahkan keterangan terdahulu oleh Khatijah bahawa pembayaran dibuat adalah sebanyak RM1 juta lebih.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Rosal Azimin Ahmad, Latimer menjelaskan hanya sebahagian daripada RM 1 juta itu dalam tiga cek digunakan untuk menyelesaikan masalah gangster berkenaan.
Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.
Sementara itu, Latimer bersetuju dengan cadangan Rosal Azimin bahawa bahagian lain daripada jumlah berkenaan turut digunakan, antara lain, untuk perbelanjaan operasi perniagaan.
Latimer turut bersetuju bahawa urusan membabitkan ketiga-tiga cek berkenaan tidak menyalahi undang-undang, dan bahawa Cergas Murni tidak terlibat dalam pengubahan wang haram.
0 Comments