KEDUDUKAN sebenar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun yang dikatakan telah meletakkan jawatan terus dipersoalkan.
Sebelum ini terdapat ura-ura menyebut Azhar dikatakan meletak jawatan dan akan dicalonkan sebagai speaker Dewan Rakyat, menggantikan Mohamad Ariff Mohd Yusof.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh mempersoalkan apakah ada arahan pihak tertentu supaya Azhar meletakkan jawatannya dan kenapa tindakan itu diambil, jika ia benar berlaku.
“Sehingga sekarang, ia terus menjadi tanda tanya. Mengapakah Azhar meletakkan jawatan sedangkan tempoh perkhidmatan beliau masih belum tamat?
“Apakah beliau membuat keputusan sendiri atau ‘diarah’ berbuat demikian supaya kedudukan pengerusi itu boleh diganti dengan seorang yang ‘mesra’ kerajaan?” soal Syed Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi KEADILAN Johor itu.
Sebelum ini, Media melaporkan tiada kelibat Azhar dilihat di pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini pada Selasa lalu.
Azhar disebut-sebut telah dicalonkan Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Usul bagi menggantikan Mohammad Ariff dan timbalannya, Nga Kor Ming dijangka didengar pada mesyuarat Dewan Rakyat yang akan diadakan tidak lama lagi.
BACA: HARAPAN bantah usaha ganti Speaker Dewan
Bagaimanapun, tindakan Muhyiddin cuba menukar Mohammad Ariff dan Nga Kor Ming itu dikritik kerana dianggap sebagai tindakan luar biasa.
Sementara itu, Syed Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan Azhar sebagai pengerusi dan anggota pesuruhjaya SPR dijamin dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyebut jawatan itu tidak boleh ditarik balik, ditukar atau dipecat melainkan dalam keadaan luar biasa dan tertentu.
0 Comments