Tiada tolak ansur untuk pemandu mabuk - bekas menteri


BEKAS
menteri pengangkutan Anthony Loke berharap usaha Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memperketat undang-undang terhadap pemandu mabuk diteruskan.

Tegasnya, kabinet HARAPAN sebelum ini secara berprinsip telah setuju  meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi tidak sempat membawanya ke Parlimen susulan 'langkah Sheraton' yang menyaksikan pentadbiran di Putrajaya bertukar.

Ahli Parlimen Seremban itu menyuarakan harapan itu sebagai mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengulangi pendiriannya agar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda bagi meningkatkan hukuman berkenaan pemandu mabuk yang terlibat dengan kemalangan.

“Saya bersetuju dengan pendirian Tuan Ibrahim. Itu sebabnya saya menyahut seruannya Januari lepas dan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada 29 Januari 2020.

“Kabinet ketika itu sudah bersetuju secara prinsip untuk mengetatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menggubal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya tak sempat untuk membentangkan pindaan RUU tersebut di Parlimen namun saya berharap agenda itu akan diteruskan oleh kerajaan sekarang,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu Tuan Ibrahim berkata akta tersebut perlu dipinda bagi mengatasi masalah individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian orang lain.

Ia susulan anggota polis Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk, dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang.

Mengulas lanjut, Loke yang juga setiausaha organisasi DAP berkata semua pihak perlu mengambil pendekatan “sifar toleransi” dalam isu tersebut.

“Semua pihak perlu mengambil pendirian ‘zero tolerance’ terhadap pemandu mabuk. Noktah.

“Ini isu nyawa manusia yang merentasi pendirian politik. Saya akan bangun menyokong pindaan RUU tersebut apabila dibawa ke sidang Parlimen kelak,” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Safwan

Post a Comment

0 Comments