PN didakwa tiada kesungguhan tangani isu pemandu mabuk


KERAJAAN
Perikatan Nasional (PN) termasuk dari PAS dilihat tidak menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam menangani isu pemandu mabuk.

Pandangan itu disuarakan 20 pemimpin DAP melalui satu kenyataan hari ini yang berkata, isu tersebut yang sering dijadikan modal politik memburukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini seolah-olah tidak lagi penting.

“Isu pemandu mabuk, yang dahulunya menjadi isu besar pembangkang BN dan PAS, kini seperti tidak lagi menjadi prioriti apabila mereka menjadi kerajaan.

“Mereka sekadar menyebarkan soal selidik kementerian pengangkutan yang dijalankan secara atas talian, dan mencadangkan supaya suatu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan, walhal apa yang patut dilakukan adalah meminda undang-undang sedia ada,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani antaranya Steven Sim Chee Keong, Chan Foong Hin, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen,J Arul Kumar, Edry Faizal,Satees Muniandy, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman, Muhammad Shakir Ameer dan Syahredzan Johan.

Mereka sebelumnya merujuk beberapa insiden membabitkan pemandu mabuk sebelum ini .

Ia termasuk membabitkan Herman Kamarudin, 41 yang maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh kereta lain yang dipandu oleh seorang peraih ikan secara melawan arus dalam keadaan mabukpada 26 Mei lalu serta kes kematian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail pada awal bulan ini yang dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan.

Insiden membabitkan pemandu mabuk sering digunakan pihak tertentu sebelum ini bagi mencetus isu kaum dan agama. Segelintir mereka membuat tohmanah kerajaan HARAPAN ketika itu tunduk kepada tekanan.

Sebagai rekod, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke telahpun memaklumkan bahawa kerajaan ketika itu akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pindaan itu bagi mengenakan hukuman keras ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol, di samping pindaan-pindaan lain termasuk menggantung lesen memandu seumur hidup dijangka dibawa ke sidang parlimen tahun ini.

Walau bagaimanapun, hasarat itu tidak kesampaian susulan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu yang menyaksikan kerajaan HARAPAN tumbang apabila beberapa bekas ahli parlimen HARAPAN berpaling tadah bagi bergandingan bahu dengan pemimpin Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan baru.

“Kami dengan ini menggesa supaya kerajaan PN menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam isu ini dengan mengadakan sidang Parlimen dengan secepat mungkin supaya RUU pindaan ini dapat dibentangkan dan diluluskan,” tambah mereka dalam kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments