Covid-19: Kes baru catat tiga angka lagi


KES
baru jangkitan koronavirus (Covid-19) di Malaysia terus mencatatkan tiga angka untuk hari kedua setelah berada di paras dua angka sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya di Putrajaya siang tadi memaklumkan sebanyak 187 lagi kes Covid-19 baru dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan meningkat kepada 7,604.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 187 kes baru yang dilaporkan itu, 10 kes terdiri daripada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat (4) kes sahaja,” katanya.

Tiada kematian terbaru dicatatkan akibat wabak itu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif maut kekal 115 kes atau 1.51 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, 62 lagi pesakit sembuh sepenuhnya setakat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,041 orang atau 79.4 peratus.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,448 kes.

Daripada jumlah itu pula, sembilan belas kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.