Putus tangan rempuh belakang lori


SEORANG
lelaki maut dengan tempurung kepala pecah dan putus tangan kanan, selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, mangsa, Muhamad Fadhli Abdul Rahim, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Lorong Pendekar Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu sedang menunggang motosikal jenis Kawasaki Versys650 dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa katanya hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori berkenaan yang berhenti untuk memasuki simpang.

"Mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori yang dipandu Mohd Mustapha Mat Daud, 54, yang sedang berhenti untuk masuk simpang ke kanan.

"Mangsa dipercayai menunggang motosikal terlalu laju dan tidak sempat menekan brek apabila keadaan terlalu hampir dengan belakang lori,” katanya.

Susulan itu jelasnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang pada jam 6.30 petang sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk proses pengebumian

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


 

Post a Comment

0 Comments