MIASA selar gimik persembahan Aina Abdul


PENYANYI Aina Abdul dikritik susulan persembahannya ketika menyampaikan lagu sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) .

Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) dalam satu kenyataan malam tadi mendakwa persembahan itu keterlaluan dan dianggap melanggar peraturan kerana meengetengahkan konsep seolah-olah membunuh diri.

“Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan bunuh diri di pentas AJL tahun ini?

"Stesen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adengan sedemikian di media.

“Dalam persembahan terbabit, penyanyi itu yang berpakaian serba putih menikam dadanya sehingga darah membuak-buak keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan darah pekat yang mengalir,” kata kenyataan itu.

MIASA menyelar keras persembahan itu yang menurut mereka boleh mendorong penonton untuk mencederakan diri sekali gus melanggar garis panduan di media.

“Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej SALAH kepada penonton mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada.

“Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adengan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah untuk menamatkan riwayat.

“Bagi individu yang memiliki masalah mental, adengan seperti ini boleh menyebabkan cetusan yang boleh mengganggu pemikiran dan mungkin mendorong mereka untuk menamatkan riwayat,” tambah MIASA sambil memberi amaran agar persembahan sebegitu tidak berulang.

Bagaimanapun, Aina Abdul menjelaskan gimik persembahan yang diterjemahkan dalam lagu Sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) adalah kesinambungan daripada muzik video lagu itu.

Aina berkata, persembahan itu adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita.

Post a Comment

0 Comments