RAKYAT Sabah digesa memperkasakan persefahaman dan perpaduan, demi kepentingan bersama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, konsep taaruf (saling berkenalan) dalam kemajmukan, dengan mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima antara satu sama lain, mampu melahirkan masyarakat bernegara yang bersatu padu.
“Perutusan Rasulullah sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam merentasi ras, etnik, mahupun agama.
"Kejayaan Rasulullah dalam mengukuhkan dua sisi perpaduan iaitu dimensi sesama umat Islam, dan pelbagai kabilah adalah model terbaik, dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
”Teras utama kepada kejayaan Baginda adalah kejayaan mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan, dan keadilan sosial, sehingga berupaya menyusun serta mengatur landskap kehidupan, yakni perpaduan dalam kepelbagaian,” pesannya pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan 1441H/2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, malam tadi.
Teks ucapan Shafie dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, rakyat juga perlu berusaha mencari titik persamaan dan mengecilkan perbezaan, selain sentiasa bertoleransi serta menerapkan konsep penerimaan.
.
“Ia selari dengan kehendak maqasid syariah, yang bersifat sejagat berteraskan maslahah, keadilan dan berhikmah, serta mempunyai tujuan jelas,” katanya seperti dilapor Bernama.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah terus bertekad, untuk menguruskan sumber kekayaan negeri, sekali gus berkhidmat dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
Barisan kepimpinan kerajaan Sabah juga komited, selain tidak akan sekali-kali mengkhianati amanah diberikan, malah menggesa rakyat negeri ini untuk turut bersama berganding bahu, dalam memberdayakan dan memakmurkan hasil kekayaan Sabah, katanya.
0 Comments