Kanak-kanak maut kereta dirempuh MPV terbabas



SEORANG kanak-kanak berusia 9 tahun maut selepas kereta dinaiki bersama keluarganya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hilang kawalan.

Kejadian di Kilometer 122 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin semalam itu turut membunuh seorang lagi mangsa yang juga merupakan kakak tiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kejadian pada jam 4 petang itu menyebabkan mangsa Andrechia Ali dan kakak tirinya, Naimzah Lazim, 27 maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan seluruh badan.

Seorang lagi mangsa yang juga adik Naimzah, Lizan Lazim, 16 yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Perodua Myvi dinaiki mereka cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Naimzah yang menghala ke arah Kuantan dirempuh Toyota Innova dipandu remaja berusia 19 tahun yang hilang kawalan menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan.

“Rempuhan pada sisi kanan hadapan itu mengakibatkan kereta mangsa berpusing dan melanggar penghadang jalan, menyebabkannya remuk teruk pada bahagian hadapan,” katanya dipetik laporan Bernama.

Azari berkata, pemandu Toyota Innova dan neneknya yang berusia 74 tahun yang berada di tempat duduk hadapan kenderaan itu cedera.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan.

Sementara jenazah Naimzah dan Andrechia yang berasal dari Kampung Pinang, Rompin dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.

Sementara itu, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment

0 Comments