355 penumpang Diamond Princess dijangkiti koronavirus



SERAMAI 355 penumpang kapal Diamond Princess yang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama telah disahkan terjangkit wabak koronavirus.

Angka itu dikeluar Kementerian Kesihatan Jepun seperti dilapor media.

Difahamkan, angka itu diperoleh ketika Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Hong Kong masing-masing telah bersedia memindahkan rakyatnya dari kapal yang dikuarantin sejak 5 Februari lalu.

“Setakat ini, kita sudah menjalankan ujian terhadap 1,219 individu. Daripada jumlah itu 355 disahkan positif,” kata menteri kesihatan Katsunobu Kato.

Sebelum ini, usaha Jepun mengawal jangkitan virus di atas kapal dengan tidak membenarkannya berlaku menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Kapal persiaran itu tiba di Jepun awal Februari lalu, dengan 3,700 penumpang dan kru kapal dari 50 negara dan rantau. Ia dikuarantinkan selepas mendapati penumpang yang turun di Hong Kong ketika pelayaran disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Kedutaan AS meletakkan semua penumpang dan krew atas kapal itu sebagai kumpulan berisiko tinggi.

“Berdasarkan jumlah kes yang tinggi dikesan di dalam kapal Diamond Princess, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia membuat penilaian bahawa penumpang dan kru kapal berada dalam risiko pendedahan yang tinggi,” kata Kedutaan Amerika Syarikat di dalam surat kepada penumpang.

Pegawai sentiasa mengesan jangkitan baharu dalam kalangan penumpang dan kru kapal serta menghantar mereka ke hospital, sementara yang lain tinggal di dalam kabin kapal dalam tempoh kuarantin selama 14 hari, yang sepatutnya berakhir Rabu ini.

Mereka yang negatif dilapor akan dibenarkan turun dari kapal bermula Jumaat.

Post a Comment

0 Comments