ACC 2020: Selangor kalah penalti


SELANGOR kalah di tangan kelab Thailand, True Bangkok United FC pada perlawanan Piala Cabaran Asia (ACC) 2020 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti, selangor gagal mengekalkan rentak cemerlang ketika menentang Persib Bandung 3-0, pada perlawanan pembuka tirai kejohanan baru-baru ini.

Permukaan padang yang kurang baik akibat hujan sebelum perlawanan jelas mengganggu persembahan kedua-dua pasukan apabila tidak banyak gerakan berbahaya dapat dilakukan kedua-dua pasukan.

Namun seawal minit kelima perlawanan Selangor mendapat peluang terbaik menerusi pemain, Ifedayo Olusegun Amosuti yang terlepas dari kawalan pertahanan lawan. Namun percubaan tersebut tidak menepati sasaran.

Percubaan terbaik Selangor di babak kedua hadir pada minit ke-76  selepas rembatan pemain gantian Azrin Afiq Rusmini menggegar palang gol.

True Bangkok United juga berjaya mencipta beberapa peluang, namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Namun, kegagalan Zahril Azri Zabri dan Halim Saari menyudahkan sepakan penalti ketiga dan keempat Selangor membolehkan True Bangkok United muncul juara

Perlawanan malam tadi dicemari  beberapa insiden bantahan pemain dan pegawai pasukan True Bangkok United yang dilihat kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali.

Kekalahan Selangor malam tadi sekaligus memadamkan impian pasukan itu untuk muncul juara.

Post a Comment

0 Comments