Potong elaun: Guan Eng serah pada kabinet


MENTERI
Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan Kabinet untuk membuat apa-apa keputusan berhubung cadangan elaun ahli politik dan menteri dipotong.

Meskipun bersetuju dengan apa jua langkah ke arah penjimatan, Guan Eng bagaimanapun berkata, perkara itu perlu dibawa ke Kabinet kerana ia melibatkan menteri dan kementerian.

"Kalau kita boleh lihat ada penjimatan itu sesuatu yang saya alukan sebagai mewakili Kementerian Kewangan.

"Tetapi kerana ia melibatkan menteri-menteri lain atau kementerian lain, jadi saya percaya perkara ini harus diputuskan oleh Kabinet," katanya dipetik laporan Sinar.

Guan Eng  berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persetujuan beberapa menteri berhubung cadangan untuk memotong elaun.

Terdahulu,  Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan cadangan itu susulan kontroversi melibatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan penjawat awam terutama doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, beliau secara peribadi menyokong langkah itu.

Terdahulu, cadangan Syed Saddiq itu turut disokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Post a Comment

0 Comments